SETELAH hampir 20 tahun mendirikan rumah tangga, akhirnya mahligai yang
dibina atas dasar cinta sama cinta menemui kemusnahan. Bagi Musliha, dia
bagaikan kehilangan kata-kata dengan perceraian yang berlaku sementelah
anak-anak sudah semakin besar. Pada mulanya, dia sukar untuk menerima
hakikat namun akhirnya reda dengan ketentuan Illahi. Kata orang sudah tiada
jodoh. Musliha cuba mencari kesilapan diri dan merenungi apa kekurangan dirinya
hingga dibuang begitu sahaja oleh bekas suaminya.
Apakah dia sebenarnya masih tidak mengenali dan memahami sikap sebenar
suami ataupun suaminya sudah berubah kasih. Ini kerana sepanjang berkongsi
hidup, Musliha memang menyediakan keperluan suaminya dari segi zahir dan
batin. Sebenarnya kecurangan pasangan ini ada kalanya berlaku tanpa kita
sedari. Walaupun pada perkara remeh, namun jika tidak dibendung pasti
akan menyebabkan kemusnahan dalam rumah tangga yang dibina. Sebagai pasangan
suami isteri, kita perlu tahu kenapa pasangan boleh berlaku curang dalam
perhubungan itu.
Tidak menyediakan keperluan
Kesibukan bekerja menyebabkan kita tidak sempat untuk menyediakan
keperluan harian seperti makan minumnya. Apabila pasangan asyik makan di luar
pastinya dia akan bertemu dengan ramai orang dan mungkin ada antaranya yang
berkenan di hati. Jadi jangan salahkan suami jika dia bersikap curang di
belakang anda.
Sukar beri layanan seks
Seks menjadi keutamaan dalam hidup seorang lelaki. Jadi biar penat mana
sekalipun jangan sesekali menolak pelawaannya untuk melakukan seks. Lakukan
dalam keadaan ekspres dan yang penting memuaskan kehendaknya. Jika anda boleh
beri lebih daripada itu pastinya memberi kebahagiaan buat pasangan.
Melakukannya seperti orang suruhan
Lelaki juga tidak gemar jika pasangan memarahi mereka sesuka hati
ataupun di khalayak ramai. Jika ini berlaku seperti menjatuhkan maruah mereka
sahaja. Jangan anda bersikap ‘queen control’ kerana lelaki tidak suka
diperlakukan begitu. Mereka juga ada ego tersendiri dan hormatilah dia sebagai
suami dan ketua keluarga.
Amalkan gaya hidup sosial
Ada di antara pasangan yang berkahwin mengamalkan gaya hidup sosial
dengan tidak ambil peduli dengan siapa mereka berhubungan. Gaya hidup sebegini
juga boleh menyebabkan pasangan curang terutamanya suami kerana isteri tidak
pernah ambil peduli dengan kehidupannya. Jika anda sayangi pasangan, elakkan
daripada mengamalkan gaya hidup sebegini.
Berpenampilan tidak menarik
Suami juga tidak gemar jika melihat pasangannya dalam keadaan tidak
berpenampilan menarik. Lebih-lebih lagi jika anda hanyalah suri rumah dan
menjadikan kain batik serta baju lusuh sebagai pakaian harian. Apa kata
walaupun tidak bekerja, anda mengubah penampilan yang lebih menarik dan kemas.
Bak kata pepatah sedap mata memandang dan mungkin juga melihat penampilan baru
membuatkan dia tidak sabar untuk mengajak berhubungan intim.
Tanda-tanda suami curang:
Berubah sikap menjadi panas baran
Jika selama ini dia seorang yang penyayang dan tiba-tiba berubah menjadi
panas baran, pasti ada sesuatu yang tidak kena. Apa sahaja yang anda lakukan
salah di matanya dan kadangkala dia sengaja mencari salah anda. Berjaga-jaga
dengan perubahannya ini kerana dia sebenarnya sudah benci melihat anda.
Tiba-tiba menjadi orang yang sibuk
Pasangan yang curang juga boleh dikesani apabila dia menjadi orang yang
paling sibuk. Mungkin dia tidak ada masa untuk bertemu dengan anda dan hanya
menggunakan pesanan ringkas sahaja. Kesibukan ini sebenarnya adalah kerana dia
sedang enak melayani kehendak kekasih barunya.
Bercakap secara sembunyi
Tanda paling senang untuk mengetahui dia curang adalah apabila ada
panggilan telefon. Biasanya dia akan bercakap secara sembunyi-sembunyi dan
dalam nada perlahan. Ada juga yang akan bangun di tengah malam untuk bercakap
dengan kekasih hatinya dan ia akan menjadi rutin harian.
Mengubah gaya penampilan
Jika selama ini pakaiannya agak selekeh dan tiba-tiba dia mengubah
penampilan menjadi lebih muda dan segak. Perubahan ini disebabkan oleh kekasih
hati yang mungkin lebih muda berbanding usianya. Jika anda menegurnya, dia
tidak akan ambil peduli kerana sedang asyik memadu asmara.